Sabtu, 12 Maret 2016

Muhyiddin mungkin kemuka undi tak percaya Najib di Parlimen

Biarpun lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau bukanlah pengkhianat Umno seperti yang didakwa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac 2016.
Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen bagi menyelamatkan Malaysia, lapor akhbar Sinar Harian.
Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun akui ia sukar dilaksanakan kerana terdapat ramai ahli Parlimen belum bersedia berbuat demikian, sedangkan untuk melaksanakan perkara itu, ia memerlukan suara majoriti.
“Itu salah satu daripadanya (usul undi tidak percaya) kalau jumlah bilangan memadai untuk membuat perubahan, tetapi saya lihat ia sukar dilaksanakan, kerana ahli-ahli Parlimen tidak bersedia dan berani menghadapi perkara itu sebagaimana banyak berlaku di negara maju.

“Di Malaysia budaya ‘the political of patriotism’ begitu mendalam. ‘Cash is king,’ apa saja boleh menjawab segala persoalan. Kita ada 222 jumlah kerusi di Parlimen, dan perlu 112 untuk majoriti mudah bagi melakukan perubahan. “Bolehkah itu berlaku? Wallahualam. Kita tahu ada pihak tertentu yang berusaha buat tapi ia tidak berhasil. Kalau saya seorang, ia tidak akan berlaku, kita hendakkan suara majoriti,” kata bekas timbalan presiden Umno itu dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian.
Mengulas tindakannya menandatagani Deklarasi Rakyat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang sehingga dijadikan senjata pihak tertentu untuk menyerangnya, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, ianya diputar belitkan.
“Ia mungkin kerana perkara itu diputarbelitkan sedemikian rupa. Saya masih dalam Umno, apa yang saya lakukan untuk menyelamatkan Umno dan kerajaan.
“Walaupun saya tidak nafikan pihak sana tidak memandang dari sudut itu tetapi harap keadaan ini tidak menjadi teruk sehingga kita mungkin salah,” katanya apabila diminta mengulas mengenai cemuhan yang diterimanya.
Muhyiddin disingkirkan daripada Kabinet Julai lalu kerana lantang mengkritik penglibatan Najib dalam syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri.
Read More / Baca Lagi >>

Tidak ada komentar:

Posting Komentar