Minggu, 13 Maret 2016

Menanti rakan baharu Pas

Oleh ZUL BAKAR
SEJARAH perjalanan politik Pas sejak tahun 1990 mencatatkan, parti itu telah bekerjasama dengan pelbagai parti bagi mencapai cita-cita politiknya. Pada tahun 1990, Pas bekerjasama dengan Parti Semangat 46 sehingga mampu menawan Kelantan daripada Barisan Nasional (BN).
Kejayaan itu kekal sehingga ke hari ini, biarpun Semangat 46 sudah tidak lagi wujud dalam arena politik negara. Tidak berapa lama kemudian, apabila PKR diwujudkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999, Pas menjalin pula kesepakatan dengan parti itu. Kerjasama itu ‘diperkukuhkan’ dengan kehadiran DAP.

Walaupun berbeza ideologi dan matlamat, namun Pas terus kekal dalam pakatan pembangkang sehinggalah pada awal tahun ini, parti itu mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada pakatan tersebut berikutan perbalahan yang tidak berkesudahan dengan DAP. Biarpun masih menjalinkan kerjasama dengan PKR tetapi Pas tidak mahu berada dalam gabungan berkenaan.Tambahan pula, mana mungkin parti itu akan duduk semeja dengan bekas pemimpin-pemimpin yang meninggalkan perjuangan Pas selepas tewas dalam pemilihan parti pada Jun 2015. Kelompok bekas pemimpin tersebut menubuhkan parti PAN yang diketuai oleh Mohamad Sabu.
Biarpun sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas sudah biasa berjuang sendirian, tetapi politik semasa tidak mengizinkan parti itu untuk berbuat demikian. Mahu tidak mahu, Pas terpaksa mencari rakan kongsi bagi meneruskan perjuangannya.
Justeru pengumuman Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa parti itu akan mewujudkan pakatan baharu pembangkang agak menarik untuk diperbincangkan. Apatah lagi, Takiyuddin menyatakan, pakatan itu ‘mampu menggerunkan’ pakatan sedia ada.
Persoalannya, siapakah rakan baharu Pas itu? Bagaimanakah hubungan Pas dengan PKR? Apakah maksud pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bermakna, Pas turut akan menentang PKR?
Kalau begitu bagaimana dengan kerjasama sedia ada di Selangor, contohnya? Apakah PKR masih mahu bekerjasama dengan Pas yang sudah diketahui akan menjadi musuh mereka dalam pilihan raya umum akan datang?
Semua persoalan itu perlu dijawab oleh Pas supaya ia tidak mewujudkan kekeliruan bukan sahaja dalam kalangan ahli dan penyokongnya tetapi juga rakyat. Bagaimanapun apa yang lebih penting, benarkah kerjasama itu akan mampu melaksanakan apa yang dipanggil ‘budaya politik matang dan sejahtera’ seperti mana dikatakan oleh Takiyuddin.
Berdasarkan perbualan penulis dengan beberapa pemimpin Pas, mereka gembira dengan perkembangan baharu itu. Mereka menganggap ia detik terbaik untuk memberi isyarat khususnya kepada DAP dan PAN bahawa Pas berkemampuan menubuhkan blok baharu pembangkang tanpa perlu bergantung kepada kedua-dua parti tersebut.
Bagaimanapun apa yang mereka harapkan ialah Pas berhati-hati dalam tindakan politiknya. Ini memandangkan sejak tidak lagi berada dalam pakatan pembangkang, Pas jarang sekali terlibat dalam politik kontroversi sehinggakan dianggap ‘mahu menjadi sekutu’ UMNO.
Read More / Baca Lagi >>

Tidak ada komentar:

Posting Komentar