Di bawah sistem pilihan raya “first-past-the-post “(FPTP) pengundi mungkin memilih hanya antara 2 calon teratas di sesuatu kawasan itu, kata penganalisis politik Dr Wong Chin Huat.
Ini kerana mengundi bagi calon lain tidak akan mempunyai sebarang kesan kepada keputusan pilihan raya.
"Ramai pengundi lebih mengambil berat mengenai parti mana yang boleh membentuk kerajaan berbanding calon yang mewakili kawasan mereka. Bagi pengundi ini, mengundi untuk parti ke-3 tidak memberikan kesan kepada keputusan pilihan raya," kata Wong kepada The Malaysian Insider. Beliau berkata, jarang bagi sistem pilihan raya FPTP mempunyai lebih daripada 2 gabungan, tidak seperti negara menggunakan sistem pilihan raya perwakilan berkadar atau "proportional" seperti Jerman, New Zealand dan Ireland yang mempunyai lebih daripada 3 parti utama, dan di mana sistem pelbagai parti, berdaya saing dan stabil.
Wong, yang juga penganalisis di Institut Pulau Pinang, mempersoalkan sama ada PAS atau gabungan baharu dicadangkan boleh menjadi kuasa ke-3 pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, ia bergantung kepada sama ada mereka boleh mencari cukup kawasan di mana PAS atau gabungan baharu merupakan salah satu daripada 2 peserta terbaik.
Pada pilihan raya lalu, PAS memenangi 21 kerusi Parlimen dan sekurang-kurangnya 40% undi dalam 31 kawasan lain, katanya.
"Prestasi memberangsangkan itu, bagaimanapun, dicapai sebagai komponen Pakatan Rakyat. Daripada jumlah 52 kawasan pilihan raya, sekurang-kurangnya 16 mempunyai 30% pengundi bukan Melayu pada ketika itu.
"Jelas sekali, cakap-cakap PAS membentuk satu lagi gabungan pelbagai etnik didorong antara lain, keinginan mengekalkan sekurang-kurangnya 16 kerusi ini dalam pertandingan 3 penjuru bersama Amanah (Parti Amanah Negara).
"Bagaimanapun, disebabkan kepimpinan Hadi terumbang-ambing, kerjasama dengan Umno dan pandangan konservatif PAS mengenai isu-isu kepelbagaian budaya dan jantina, parti Islam itu ditolak kebanyakan bukan Melayu.
"Dan tidak ada sekutu bukan Melayu yang boleh dipercayai untuk bersekutu dengan PAS," katanya merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Wong berkata, dengan atau tanpa rakan bukan Islam, PAS akan terlibat dalam pertandingan 3 penjuru melawan Amanah dan DAP di kawasan-kawasan lain juga.
Beliau berkata, parti Islam itu mungkin mempunyai kelebihan di beberapa kawasan tradisi mereka tetapi di kerusi lain, terdapat satu soalan, walaupun di kalangan pengundi Melayu muda, sama ada PAS perlu diberi perhatian serius untuk memimpin Malaysia atau tidak.
Beliau juga berkata, masalah paling besar bagi PAS ialah sikap tidak jelas terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dicemari dengan dakwaan pelbagai skandal.
"Hadi peluk dia, (Datuk) Tuan Ibrahim (Tuan Man) menentangnya, (Datuk) Mahfuz (Omar) mahu menjatuhkannya. Mengapa pengundi anti Najib perlu mengundi PAS?" soalnya.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata baru-baru ini, parti Islam itu akan menubuhkan gabungan pembangkang ke-2, bekerja dengan sebuah parti berbilang kaum dan bukan dengan Umno.
Takiyuddin berkata, PAS akan menandatangani memorandum persefahaman dengan parti pelbagai kaum yang baharu itu pada 16 Mac.
Undi Melayu berpecah
Penganalisis Prof Madya Samsu Adabi Mamat berkata, langkah PAS akan mempelbagaikan parti-parti pembangkang dan memecahkan undi Melayu.
Beliau berkata, walaupun ia merupakan suatu eksperimen, menggunakan simpulan bahasa Melayu "untung sabut timbul, untung batu tenggelam".
"Jika 'untung sabut', PAS dan pakatan baharu akan menjadi alternatif untuk menggantikan Umno sebagai parti Melayu utama. Jika 'untung batu', mereka hanya akan meningkatkan bilangan parti Melayu," katanya.
Samsu Adabi berkata kemunculan gabungan kedua dipimpin PAS akan memberi manfaat kepada Barisan Nasional (BN), kerana ia akan memecahkan undi pembangkang.
Read More / Baca Lagi >>
Tidak ada komentar:
Posting Komentar