Minggu, 13 Maret 2016

Bukit Tunggul: Kalau dapat RM2j, kenapa rumah Orang Asal daif?

Orang Asal Bukit Tunggul nafikan kenyataan JAKOA bahawa penduduk kampung terima pampasan sebanyak RM2 juta untuk berpindah keluar.
JAKOA-1
SEPANG: Pemimpin komuniti Orang Asal dekat Putrajaya mendedahkan jumlah pampasan untuk Orang Asal mengosongkan Kampung Orang Asli Bukit Tunggul tidak sampai RM2 juta.
Pampasan diberikan adalah sangat sedikit dan kebanyakan keluarga Orang Asal didakwa menerima pampasan tidak sampai RM20,000 untuk berpindah keluar dari kampung itu pada tahun 1993.
Perkara berkenaan menyebabkan penduduk kampung terbabit yang terdiri daripada 11 keluarga bertekad untuk tidak mahu berpindah walaupun sedar tanah moyang mereka dimiliki swasta.
Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Sungai Buah dan Bukit Tunggul, Tan Jahmat, berkata keadaan hidup daif penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tunggul sudah menjelaskan mengenai nilai pampasan sebenar yang diterima.
“Kalau benar RM2 juta pampasannya, kenapa kami hidup susah? Rumah kami tak macam ini kalau duit banyak. Ini pun nasib baik ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bantu buatkan rumah.
“Kalau ada pemimpin kerajaan tak percaya, boleh turun padang dan lihat sendiri Kampung Orang Asli Bukit Tunggul. Bukan jauh pun. Tak sampai lima kilometer dari Putrajaya nun,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT di sini, semalam.
Katanya, pada tahun 1993, beliau bersama penduduk kampung dimaklumkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bahawa urusan pampasan sudah selesai dirundingkan antara jabatan itu dengan Bukit Unggul Golf & Country Resort Sdn Bhd (BUGCR).
Tan berkata, penduduk kampung pada waktu itu terpinga-pinga dan terpaksa akur dengan ‘arahan’ daripada ‘orang JAKOA’ untuk menerima pampasan dan berpindah keluar daripada kampung berkenaan, sekali gus membolehkan padang golf dibina di kampung mereka.
“Rundingan ini orang kampung tak tahu apa. Selepas itu kita rasa ada yang tidak kena. Malah kita syak ada orang dalam JAKOA ‘main silap mata’ dengan penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tunggul.
“Ini membuatkan kami tekad tidak mahu berpindah. Kami tinggal di tanah ini lebih lama daripada mana-mana rakyat Malaysia. Kenapa kami mahu serahkan kepada kelab golf pula?” katanya.
Minggu lalu, JAKOA mengeluarkan kenyataan mendedahkan keseluruhan tanah di kampung terbabit sudah dimiliki BUGCR.
Read More / Baca Lagi >>

Tidak ada komentar:

Posting Komentar