Sabtu, 12 Maret 2016

Kerjasama pembangkang - Dr Mahathir satu pengkhianatan, kata aktivis

Sehingga hari ini, Dr Mahathir masih belum mengakui yang dialah orangnya yang memusnahkan institusi Malaysia. Sekiranya orang lain yang mengetuai inisiatif ini, saya akan terima. Tetapi Dr Mahathir? Mustahil, kata Haris Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 13 Mac, 2016.
Semalam aktivis pembangkang menyuarakan kekecewaan secara terbuka terhadap kerjasama pemimpin mereka bersama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam inisiatif “Selamatkan Malaysia”.
“Buta”, “lemah” dan “mudah lupa”adalah antara beberapa perkataan yang digunakan mereka sewaktu perhimpunan individu pro-reformasi dan kemarahan mereka diarahkan kepada pemimpin utama pembangkang yang menandatangani Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lepas.
Mereka merasa dikhianati pemimpin pembangkang yang kini bersama Dr Mahathir untuk “menyelamatkan”Malaysia sedangkan beliau ialah punca utama kehancuran negara ini.

Beberapa orang daripada 13 orang yang berucap di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) nampaknya sangat emosional apabila mengimbau kembali kenangan merasai secara langsung kesan “Mahathirisme” ketika beliau memegang tampuk pemerintahan negara. “Mereka meminta kami untuk melupakan apa yang berlaku pada 1998. Bagaimana Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melayan kami ketika kami turun ke jalan, apa yang mereka lakukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi orang Melayu tidak mudah lupa.
“Najib akan tumbang dengan sendiri. Dia akan tumbang kerana 1MDB, kerana skandal derma RM2.6 bilion. Kami tidak perlukan Dr Mahathir untuk jatuhkan Najib dan Barisan Nasional (BN),” kata Setiausaha Kerja Otai Reformasi Abdul Razak Ismail kepada kira-kira 200 orang yang berkumpul dalam dewan, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Razak berkata, pemimpin Pakatan Harapan membenarkan diri mereka dimanipulasikan Dr Mahathir dan sekutunya, yang sudah terang lagi bersuluh mengatakan mereka masih mahukan BN kekal berkuasa.
Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Eddy Noor Reduan berkata, bukan soal sama ada Anwar sudah memaafkan Dr Mahathir atau belum- kerana beliau (Dr Mahathir) sudah “mengkhianati” terlalu ramai orang dan pemimpin pembangkang tidak sepatutnya melupakan perkara tersebut.
Read More / Baca Lagi >>

Tidak ada komentar:

Posting Komentar