Jumat, 11 Maret 2016

PEMECATAN MAHATHIR RUGIKAN NAJIB

Tun Mahathir Mohamad akhirnya ditamatkan perkhidmatannya sebagai penasihat Petronas berikutan perbezaan pendapatnya yang berterusan dengan Perdana Menteri, Najib Razak.

Dalam tindakan yang diputuskan sebulat suara oleh kabinet, bekas Perdana Menteri itu dianggap tidak layak lagi memegang jawatan tersebut kerana sikapnya yang dilihat tidak mendukung kerajaan sedia ada.

Asas utama penamatan khidmat Tun Mahathir ialah kerana Deklarasi Rakyat yang dilancarkannya minggu lalu bersama tokoh-tokoh ternama negara, termasuk daripada parti-parti pembangkang yang disifatkan kabinet sebagai suatu percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Walaupun tindakan terhadap Tun Mahathir ini dipercayai disebabkan desakan banyak pihak dalam UMNO sendiri mengenai perkara itu, tetapi ini bukanlah tindakbalas pertama Najib terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, Tun Mahathir juga sudah beberapa kali disiasat oleh pihak polis di bawah Akta Hasutan berikutan kenyataan-kenyataan kerasnya untuk menyingkirkan Najib daripada kerusi Perdana Menteri.

Sama ada Tun Mahathir akan dihadapkan ke mahkamah atau sebaliknya, ia akan banyak dipengaruhi oleh apa yang dilakukannya selepas ini.

Jika Deklarasi Rakyat telah menyebabkan Tun Mahathir dibuang sebagai penasihat Petronas, tidak mustahil deklarasi itu juga akan menyebabkan "kandang tertuduh" di mahkamah pula bakal menantinya selepas ini.

Bagi Tun Mahathir, penamatan khidmatnya di Petronas ini mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sendiri pernah menawarkan diri untuk berundur daripadanya pada Disember 2013 yang lalu.

Bagaimanapun, hasrat Tun Mahathr itu ditolak oleh Najib yang merasakan masih ada keperluan bagi bekas Perdana Menteri itu untuk terus kekal memberi sumbangan kepada pembangunan dan kejayaan di syarikat minyak utama negara itu.

Maka, penamatan ini dipercayai tidak akan memberi apa-apa kesan kesan psikologi dan emosi kepada Tun Mahathir.
Read More / Baca Lagi >>

Tidak ada komentar:

Posting Komentar