Hasil pendapatan yang terlalu rendah daripada garis kemiskinan nasional sekaligus menjejaskan pengambilan makanan berkhasiat dalam kalangan keluarga penoreh getah.
Tinjauan Malaysia Dateline di daerah Sik, Kedah mendapati kejatuhan harga getah menyebabkan sebahagian besar penoreh terutama secara pawah terpaksa mengikat perut.
“Harga (getah) sekarang sembilan kupang (90 sen) sekilo. Kami dapat hanya lebih kurang RM300 sebulan. Kalau yang (menoreh) pawah lagi rendah (pendapatan).
“Bukan sedikit penoreh sekarang ini terpaksa beli beras ikut kilo. Tak mampu dah beli beras dalam kampit. Nasi lauk telur dan toyu (kicap) dah jadi kebiasaan.
“Ikan dan sayur mungkin boleh cari sekitar rumah tapi minyak, garam, gula, tepung kami kena beli,” keluhnya dari Kampung Baru Zainal Abidin, Sik.
Justeru golongan penoreh, ujarnya berharap kerajaan dapat segera menetapkan harga lantai getah pada RM3.50 sekilogram berbanding bantuan berbentuk barangan asas harian yang bukan diberi secara bulanan.
“Bantuan sara hidup yang kerajaan negeri nak beri banyak mana sangat. Itu pun sekali beri (one off). Kami minta kerajaan buat harga lantai getah. Kalau RM3.50 sekilogram, orang kampung bolehlah bertahan,” kata bapa kepada enam anak ini dengan tiga daripadanya masih bersekolah.
Menceritakan realiti penderitaan penoreh pada masa ini, Mohd Nor memberitahu, kesan harga getah yang terlalu rendah bertambah buruk ketika musim panas berpanjangan atau sepanjang musim hujan melanda.
“Sekarang ini, susu getah kurang sebab musim kemarau. Dulu boleh dapat empat guni getah sekerap seminggu. La ini dua guni dengan seguni bolehlah dapat antara 50 hingga 70 kilo.“Setahun kami hanya betul-betul dapat menoreh pun paling banyak lima bulan. Pernah empat bulan sahaja sebab bulan-bulan lain musim hujan. Hasil menoreh jauh berkurang,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas himpunan menuntut harga lantai getah di pekan Sik, Jumaat, 11 Mac lalu.
Berharap supaya harga getah sepatutnya lebih stabil dan berbaloi berbanding pada masa lalu tetapi hakikatnya semakin tidak padan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini yang dialami penoreh getah.
Read More / Baca Lagi >>
Tidak ada komentar:
Posting Komentar