Jumat, 11 Maret 2016

Marah Najib, rakyat Kedah sokong Dr Mahathir



 Rakyat Kedah masih menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad dan sesetengahnya turut menyokong Deklarasi Rakyat kerana pentadbirannya tidak banyak skandal serta tidak menyusahkan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016.
Tun Dr Mahathir Mohamad kekal popular di negeri kelahirannya Kedah, ketika Umno menyerang dan mengkritiknya kerana bekerjasama dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Walaupun Putrajaya menghukum Dr Mahathir dengan menamatkan khidmatnya sebagai penasihat Petronas, rakyat Kedah masih lagi mengingati legasinya di negeri utara itu.
Memori penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah masih segar dalam ingatan dan mereka menyalahkan Najib terhadap langkah yang disifatkan sebagai percaturan politik semata-mata.

Pada sisi lain, mereka masih menghormati Dr Mahathir dan sesetengahnya turut menyokong Deklarasi Rakyat – gerakan bersama di antara pemimpin Umno, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyingkirkan Najib. "Tidak ada orang bercakap buruk berkaitan langkah Dr Mahathir yang menjalin kerjasama dengan pembangkang. Orang di Kedah ini majoriti tidak senang dengan Najib.
"Tindakan Najib menukar Mukhriz sebagai menteri besar tidak mendapat sokongan rakyat Kedah dan kami berdendam dengan tindakan orang Umno yang membodek Najib," kata Mohd Herman Rahim, 33, kepada The Malaysian Insider.
Herman yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen pernah disandang Dr Mahathir, Kubang Pasu, berkata mereka menyanjung tinggi negarawan itu kerana pentadbirannya tidak banyak skandal dan tidak menyusahkan rakyat.
"Semasa zaman Dr Mahathir, kami tidak dengar skandal peribadi dan kewangan seperti terpalit dengan Najib.
"Di bawah Najib, pelbagai skandal dan isu kami baca yang tidak menyenangkan dengan kerajaan.
"Kemudian ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin meningkat di bawah pemerintahan Najib menyebabkan rakyat semakin susah," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hazriq Hamid, 31, juga berkongsi sentimen sama apabila menyalahkan tindakan Najib menukar Mukhriz yang juga anak Dr Mahathir sebagai punca rakyat Kedah semakin menolak Umno.
"Krisis MB lalu menyedarkan orang Kedah Najib cuba bermain politik dan menyelamatkan karier politiknya hingga menyebabkan Mukhriz tersingkir.
"Mukhriz merupakan anak Dr Mahathir, seorang negarawan yang disegani dan dihormati majoriti orang Kedah.
"Tindakan Najib itu pada masa sama menyebabkan orang ramai bersimpati kepada Dr Mahathir dan kecewa dengan tindakan pemimpin Umno yang bersekongkol," katanya.
Hazriq berkata, isu Dr Mahathir menjalin kerjasama dengan pembangkang seperti DAP yang menjadi musuh utama Umno bukan suatu isu besar kerana isu lebih penting ialah memastikan peletakan jawatan Najib.
Read More / Baca Lagi >>

Tidak ada komentar:

Posting Komentar